Thursday, December 13, 2007

Tabarruj


SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

  • Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

    Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

    Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

    Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

  • Pakaian yang longgar.

    Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

    Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

    Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

  • Pakaian yang tidak jarang.

    Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

    Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

  • Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

    Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

    Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

  • Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

    Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

    Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

  • Tidak bertabarruj.

    Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

    Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

    Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

    Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

  • Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


  • Wednesday, December 12, 2007

    Muslimah Harapan


    Persismu permata berlian menjadi rebutan pejuang
    keutuhan yang tersimpan di balik tabir yang tenang.....
    Keayuan yang terpancar disinar cahaya iman
    itulah muslimah harapan...harapan
    Gerak langkahnya yang sopan disulam zikir di ingatan keyakinan yang mendalam menjadi tangan perjuangan....
    Jasad hayatnya diserahkan untuk sebuah perjuangan
    itulah muslimah harapan....
    Muslimah puteri harapan dikaulah harapan membela Islam yang mulia...
    muslimah puteri harapan dikaulah cahaya
    menjadi lambang Islam yang gemilang...
    Puteri harapan serikandi Islam tetaplah kau dalam perjuangan
    menjadi sayap kiri di medan
    meneguhkan benteng pertahanan Islam
    Gamitan leka duniawi tersungkur jauh di hatimu
    kau sematkan kecintaan yang mendalam
    terhadap Tuhanmu...jaga untuk suami tersayang
    kau didik generasi mendatang
    untuk agama tercinta.....





    Thursday, December 6, 2007

    30 larangan kepada wanita

    1. Menyambung rambut palsu
    2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
    3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
    4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lelaki lain
    5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama

    6. Membuka rahsia hubungan suami isteri
    7. Berpuasa sunat tanpa izin suami
    8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami
    9. Derhaka kepada suami
    10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas

    11. Mengingkari kebaikan suami
    12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram
    13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya
    14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram
    15. Menyerupai lelaki

    16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami
    17. Memandang aurat wanita lain
    18. Keluar rumah tanpa ada keperluan
    19. Masuk permandian awam
    20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah

    21. Meratapi kematian
    22. Berhias atas meninggalnya seorang
    23. Menghantar jenazah
    24. Mempercayai bomoh, dukun dan peramal
    25. Menyumpah anak-anak sendiri

    26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
    27. Menganiaya pembantu
    28. Mengganggu jiran
    29. Minta cerai kerana suami sakit
    30. Minta cerai kerana suami menikah lagi


    ~sama2lah kita saling memperingati antara 1 sama lain,igtkan diriku bilaku terlupa,tegurlah diriku bila ku melakukan kesilapan~


    Sudahkah kau tunaikan?

    1. HAK KEPADA DIRI
    Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

    2. HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

    Mengqada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

    3. HAK KEPADA KUBUR

    Membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajud dan membantu orang yang dizalimi.


    4. HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

    Tidak berdusta, sentiasa berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.


    5. HAK KEPADA MIZAN (Neraca timbangan amal pada hari akhirat)
    Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.


    6. HAK KEPADA SIRAT (Titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)
    Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.


    7. HAK KEPADA MALIK (Penjaga neraka)
    Menangis lantaran takutkan Allah s.w.t., berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperbaiki akhlak.


    8. HAK KEPADA RIDHWAN (Malaikat penjaga syurga)
    Berasa redha dengan Qada' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.


    9. HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W.
    Berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.


    10. HAK KEPADA ALLAH S.W.T.
    Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


    Doa_3