Thursday, December 13, 2007

Tabarruj


SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

  • Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

    Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

    Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

    Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

  • Pakaian yang longgar.

    Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

    Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

    Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

  • Pakaian yang tidak jarang.

    Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

    Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

  • Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

    Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

    Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

  • Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

    Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

    Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

  • Tidak bertabarruj.

    Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

    Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

    Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

    Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

  • Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


  • Wednesday, December 12, 2007

    Muslimah Harapan


    Persismu permata berlian menjadi rebutan pejuang
    keutuhan yang tersimpan di balik tabir yang tenang.....
    Keayuan yang terpancar disinar cahaya iman
    itulah muslimah harapan...harapan
    Gerak langkahnya yang sopan disulam zikir di ingatan keyakinan yang mendalam menjadi tangan perjuangan....
    Jasad hayatnya diserahkan untuk sebuah perjuangan
    itulah muslimah harapan....
    Muslimah puteri harapan dikaulah harapan membela Islam yang mulia...
    muslimah puteri harapan dikaulah cahaya
    menjadi lambang Islam yang gemilang...
    Puteri harapan serikandi Islam tetaplah kau dalam perjuangan
    menjadi sayap kiri di medan
    meneguhkan benteng pertahanan Islam
    Gamitan leka duniawi tersungkur jauh di hatimu
    kau sematkan kecintaan yang mendalam
    terhadap Tuhanmu...jaga untuk suami tersayang
    kau didik generasi mendatang
    untuk agama tercinta.....





    Thursday, December 6, 2007

    30 larangan kepada wanita

    1. Menyambung rambut palsu
    2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
    3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
    4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lelaki lain
    5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama

    6. Membuka rahsia hubungan suami isteri
    7. Berpuasa sunat tanpa izin suami
    8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami
    9. Derhaka kepada suami
    10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas

    11. Mengingkari kebaikan suami
    12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram
    13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya
    14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram
    15. Menyerupai lelaki

    16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami
    17. Memandang aurat wanita lain
    18. Keluar rumah tanpa ada keperluan
    19. Masuk permandian awam
    20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah

    21. Meratapi kematian
    22. Berhias atas meninggalnya seorang
    23. Menghantar jenazah
    24. Mempercayai bomoh, dukun dan peramal
    25. Menyumpah anak-anak sendiri

    26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
    27. Menganiaya pembantu
    28. Mengganggu jiran
    29. Minta cerai kerana suami sakit
    30. Minta cerai kerana suami menikah lagi


    ~sama2lah kita saling memperingati antara 1 sama lain,igtkan diriku bilaku terlupa,tegurlah diriku bila ku melakukan kesilapan~


    Sudahkah kau tunaikan?

    1. HAK KEPADA DIRI
    Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

    2. HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

    Mengqada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

    3. HAK KEPADA KUBUR

    Membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajud dan membantu orang yang dizalimi.


    4. HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

    Tidak berdusta, sentiasa berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.


    5. HAK KEPADA MIZAN (Neraca timbangan amal pada hari akhirat)
    Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.


    6. HAK KEPADA SIRAT (Titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)
    Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.


    7. HAK KEPADA MALIK (Penjaga neraka)
    Menangis lantaran takutkan Allah s.w.t., berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperbaiki akhlak.


    8. HAK KEPADA RIDHWAN (Malaikat penjaga syurga)
    Berasa redha dengan Qada' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.


    9. HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W.
    Berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.


    10. HAK KEPADA ALLAH S.W.T.
    Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


    Doa_3



    Thursday, November 29, 2007

    Ibu Mithali Isteri Sejati



    ---------------------------

    Siapakah wanita yang layak dipanggil ibu mithali, isteri sejati?

    Adakah anda, saya ataupun wanita-wanita lain di dunia ini.

    Marilah kita analisa diri kita sejauh mana kita mencapai ke peringkat tersebut dengan berpandukan analisis yang diberikan oleh Dr. Fadzilah Kamsah.

    Beliau menjelaskan penganalisisan diri perlu bagi ibu mithali dan isteri sejati dalam membentuk sebuah rumahtangga harmoni. Seseorang pendidik keluarga seharusnya memfokuskan diri pada aspek-aspek tertentu seperti :
    • Berdoa memohon keredhaan Allah.
    • Mengistiqamahkan sunnah dan penghayatan Islam dalam rumah tangga.
    • Membersihkan hati dan pemikiran.
    • Membina kebahagiaan secara proaktif.
    • Mendidik diri sendiri.
    • Mengamalkan komunikasi dan hubungan kemanusiaan berkesan berdasarkan al-mawaddah (berkasih sayang) dan ar-rahman (kasihan-mengasihani).
    • Mengamalkan sikap dan pegangan yang betul.
    • Mengamalkan suasana persekitaran yang kondusif dan merangsang dalam rumah tangga.
    • Membina rumah tangga berasaskan al-Mu’asyarah bil makruf (pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai Allah).
    • Pembangunan fizikal dan kesihatan.
    • Muhasabah diri.
    Oleh itu, di manakah diri kita. Adakah kita telah berjaya melaksanakan kesemua 11 aspek ini atau hanya separuh daripadanya sahaja. Jika anda telah berjaya, saya ucapkan SYABAS!

    Namun begitu, ia masih tidak mencukupi lagi. Ada beberapa perkara lagi yang perlu dititik beratkan lagi untuk mencapai tahap IBU MITHALI ISTERI SEJATI!!!

    Menurut beliau lagi, seseorang ibu dan isteri positif mesti mempunyai 9 sikap mental iaitu :-
    1. Positif terhadap perubahan.
    2. Positif terhadap diri sendiri.
    3. Positif terhadap kepimpinan.
    4. Positif terhadap masalah.
    5. Positif terhadap orang lain.
    6. Positif terhadap keadaan emosi.
    7. Positif terhadap idea kreatif.
    8. Positif terhadap membuat keputusan.
    9. Positif terhadap qada’ dan qadar.
    Selain daripada itu beliau juga turut menggariskan beberapa petua untuk menjadi ibu mithali. Antaranya ialah :-
    • Analisis diri daripada pandangan anak.
    • Sedari dan fahami perbezaan anak daripada segi fizikal dan emosi.
    • Bercakap benar.
    • Kotakan kata-kata.
    • Didik anak mengenai kemahiran sosial.
    • Gunakan masa jitu untuk mengajar.
    • Wujudkan suasana positif dalam rumah tangga.
    • Gunakan belaian positif lebih daripada negatif.
    • Padam rekod negatif dalam pemikiran anak.
    • Melatih anak berfikir.
    • Dedahkan anak kepada pelbagai pengalaman.
    • Tunjukkan contoh sihat dalam rumah tangga.
    • Memimpin anak menyempurnakan ibadah umum dan khusus.
    • Hidupkan sunnah dalam rumah tangga.
    • Sentiasa berdoa mendapatkan bantuan dan rahmat Allah.
    • Mengenal pasti potensi anak dan menyerlahkannya.
    Menjadi seorang ibu mithali bukanlah mudah. Mereka mempunyai berbagai peranan dalam rumah tangga. Paling penting adalah sebagai :-

    • Pendidik keluarga.
    • Pemimpin kedua dalam segala hal berkaitan rumah tangga.
    • Penasihat.
    • Doktor dan jururawat.
    • Mendisiplinkan anak-anak.
    • Kawan atau sahabat.
    • Penyelesai masalah.
    • Merangsang perkembangan mental anak-anak.
    • Mengawasi perkembangan dan tingkah laku anak.
    • Model pada anak-anak.
    • Mendoakan kejayaan anak di dunia dan akhirat.
    • Mengawal ekonomi rumah tangga.
    • Menjaga harta suami dan keluarga.
    Selain daripada itu terdapat 13 prinsip ibu mithali yang boleh dicontohi iaitu :-
    1. Ibu menyerlahkan keunikan tersendiri.
    2. Tidak ‘berebut kuasa’ dengan anak-anak.
    3. Memahami teknik memuji dan mengkritik anak.
    4. Bersangka positif terhadap kebolehan dan kecemerlangan setiap anak.
    5. Mendidik anak berdikari.
    6. Mempunyai nilai diri tinggi.
    7. Bersedia meminta maaf daripada anak-anak.
    8. Bertindak secara jamaah.
    9. Mengorbankan kepentingan peribadi.
    10. Memberi perhatian rapi terhadap setiap kegiatan yang dijalankan.
    11. Meneroka dan merangsang potensi anak.
    12. Sentiasa meningkatkan diri daripada segi keterampilan keibubapaan.
    13. Sentiasa berdoa untuk kesejahteraan keluarga.

    Kesimpulannya, untuk menjadi seorang ibu yang baik, mungkin kita boleh mencapainya tetapi untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang cemerlang, kita perlulah mendalami ilmu keisterian. Oleh itu, berusahalah kita seberapa yang boleh untuk menjadi Ibu Mithali Isteri Sejati.


    video



    Thursday, November 22, 2007

    Hubby dan Bini No-2nya

    Di sini saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang suami saya.Semalam hubby sangat seronok sampaikan ajak makan pun tak nak kerana semalam dia baru dapat bini no2..aku pun tumpang gembira tengok hubby gembira dengan kedatangan isterinya yang ke-2.Saya redho dengan kedatangannya.Yang menjadi saksi pernikahan semalam ialah Ustaz Firdaus dan Ustaz Kairul Nizam. Disamping itu yang menemani saya ialah zaujah Ust Firdaus iaitu Khairunnisa' dan puterinya Najlaa' Nasuha.Adalah sedikit makanan yang aku masak sendiri..... Yang menjadi kadi semalam Ustaz Yufrisan.aku mendoakan semoga hubby bahagia dengan madu ku itu dan semoga hubby berlaku adil dengan saya dan anakku....

    Bini no-2 hubby yang aku maksudkan itu inilah....lihat gambar yang saya kepilkan disebelah tu..cantik tak???hehehe... Insyaallah saya akan jadikan kawan baik saya untuk selamanya..Harap2 sahabat-sahabat sekalian pun macam tu...

    Untuk pengetahuan sekalian hubby tidak lame lagi nak imtihan mawad akhir(madah akhir).Doakan kejayaan dan kecemerlangan untuknya dan capai cita-citanya...Amiinnn.

    Saya sekeluarga doakan semoga hubby mendapat ketenangan ketika menjawab dan kecemerlangan menjadi milik hubby...Dari isteri dan anak yang tersayang.....

    Semoga Berbahagia dengan Orang Baru....... LovE yOu HubBy...















    Tuesday, November 20, 2007

    Tanggungjawab Ibu Semakin Sukar

    Hari ini umur anakku sudah masuk 4bulan 3hari...menjadi seorang ibu ni bukanlah suatu perkara yang mudah.Banyak perkara yang perlu dipelajari.Sejak dilahirkan hingga sekarang saya dapat merasai perasaan seorang ibu,walaupun penat melayan kerenah anak tetapi apabila melihat telatahnye menjadikan hatiku terhibur...itulah anakku Saidatul Hawwa As-Sufiani yang disayangi..Di sini saya mengajak sahabat2 sekalian membaca satu artikel yang ditulis oleh Marihah binti Suhaimi.Penulis merupakan ketua wanita JIM Sepang, Selangor dan boleh di hubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

    Oleh: Marihah binti Suhaimi

    Ibu di zaman moden ini beruntung kerana memperolehi pengiktirafan dunia hingga diujudkan satu hari khas untuk meraikan ibu seperti adanya Hari Pahlawan, Hari Kanak-Kanak Sedunia dan sebagainya.

    Tetapi jika diteliti, benarkah ibu-ibu sekarang beruntung?

    Untuk menjawab persoalan ini dalam konteks Malaysia , kita perlu mengkaji fenomena penghijrahan warga kampung ke bandar dan kesannya terhadap perubahan struktur sosial masyarakat. Anak-anak berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran dan mencari peluang pekerjaan sedangkan ibu bapa tinggal dikampung. Tindakan ini memisahkan keluarga dan merubah konsep keluarga daripada ‘extended family’ yang besar kepada ‘nuclear family’ yang lebih kecil.

    Peluang pendidikan yang tidak mendiskriminasi lelaki dan wanita pula telah berjaya menghasilkan ramai cendiakawan wanita. Kini 70 peratus penuntut universiti tempatan terdiri daripada pelajar wanita, satu angka yang menimbulkan tanda persoalan kerana mana perginya remaja lelaki Malaysia .

    Secara tidak langsung ini meninggalkan kesan terhadap pandangan dan harapan masyarakat terhadap wanita. Wanita tidak lagi diharapkan menjadi suri rumah, tetapi sebaliknya membantu meringankan beban kewangan ibu bapa walaupun mereka telah berkeluarga. Tetapi anehnya, peranan lelaki dan harapan masyarakat terhadap lelaki masih tidak banyak berubah. Tugas-tugas dirumah masih pertanggungjawabkan ke atas wanita walaupun bekerja.

    Bekerja sepenuh masa bermakna sekurang-kurangnya lapan jam di pejabat. Dengan kesesakaan lalu lintas yang memerlukan pergi kerja lebih awal dan pulang lebih lewat maka seorang ibu itu berada sekurang-kurangnya 10 jam jauh daripada anak-anaknya. Tugas pengasuhan diambil alih oleh pembantu rumah atau penjaga nurseri. Apabila pulang kerumah, ibu yang telah penat bekerja ini harus pula melayan kerenah anak-anak dan suami disamping membereskan kerja-kerja rumah yang lain.

    Mampukah ibu-ibu menyelesaikan semua tugas-tugas ini dengan baik?. Tentu bukan mudah dan terpaksa menghadapi pelbagai tekanan. Tekanan untuk menjadi ibu yang sempurna di rumah dan tekanan untuk menjadi pekerja yang cemerlang di tempat kerja.

    Bagaimana harus seorang ibu mengharungi dua dunia serba mencabar ini supaya salah satunya atau kedua-duanya tidak tercicir?

    Bagaimanakah harus dia kekal terapung dan tidak lemas?

    Apakah corak pemikiran dan tingkahlaku yang diperlukan oleh seorang ibu untuk berjaya?

    Beberapa cadangan disyorkan sebagai garispanduan untuk ibu-ibu menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik:
    Apakah matlamat hidup
    ‘Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku’
    (Ad-Dzaariyat : 56)
    Ini adalah sebab yang utama kita dijadikan.
    Matlamat hidup ini hendaklah merangkumi seluruh kehidupan samada sebagai seorang individu, seorang isteri, ibu dan pekerja. Kesemua aspek-aspek ini hendaklah di selaraskan agar tidak bercanggah dan berlawanan tetapi disalurkan ke arah keredaan Allah SWT.

    Rancang mengikut keutamaan – perancangan adalah berdasarkan matlamat dan hendaklah disusun mengikut keutamaan. Mustahil untuk berada dalam dua tempat pada satu masa maka kemahiran menyusun jadual dan pembahagian tugas amat penting. Ada kerja yang ibu kena lakukan sendiri dan ada yang boleh diserahkan pada orang lain. Sebagai contoh, apabila berada dirumah, kebajikan anak-anak lebih utama daripada kerja-kerja mencuci kerana mencuci boleh dilakukan dengan bantuan teknologi atau orang lain.
    Rancang dan ikut perancangan tetapi beri sedikit ruang untuk keanjalan agar tidak terlalu rigid dan membebankan
    Berkeyakinan diri –apabila matlamat dan senarai keutamaan telah ditentukan maka ibu perlu cekal dan bermotivasi untuk mencapainya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Ini memerlukan semangat yang kuat dan keyakinan bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan.
    Tidak guna melayan rasa bersalah keluar bekerja dan meninggalkan anak kerana bekerja bukannya pergi makan angin tetapi mencari rezeki. Jika perasaan bersalah sering melanda dan sukar diatasi maka lebih baik ibu berhenti kerja dan tumpukan sepenuh masa dirumah.

    Berakhlak mulia – ibu yang berakhlak mulia penting untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Ibu merupakan guru dan ‘role model’ pertama anak-anak. Akhlak anak-anak sering dilihat sebagai cermin akhlak ibu yang mendidik mereka.

    Kemesraan berinteraksi - senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu boleh menjadi penawar kedukaan. Anak-anak yang pulang kerumah dan disambut dengan sifat mesra dan penyayang akan rasa dihargai. Bayangkan apa perasaan anak jika pulang ke rumah disambut dengan muka bengis dan rungsing ibu, tentu menggerunkan.

    Keikhlasan - ibu hendaklah sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduknya. Kejujuran dan keikhlasan dapat dirasai oleh oleh anak. Apabila ibu menghukum anak misalnya, kejujuran dan keikhlasan ibu akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan hukuman yang disertai dengan perasaan marah dan benci.

    Berkomunikasi dengan baik –bincang dengan suami dan anak-anak tentang perkara-perkara yang perlu dibereskan. Jangan jadi ‘superwoman’ dan mahu melakukan segala-segalanya seorang diri kerana ini akan memudaratkan kesihatan.

    Sentiasa berdoa - ibu seharusnya sentiasa berdoa untuk diri dan ahli keluarganya. Usaha tanpa doa tidak dapat mendatangkan hasil yang sempurna kerana Allahlah yang menentukan segalanya.

    Kesimpulan
    Kepada ibu-ibu, tentu ramai setuju sungguh sukar untuk mencari kesempurnaan atau keseimbangan dalam dunia kerjaya dan rumahtangga ini. Cukup dengan berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segalanya kepada Allah kerana Allah maha mengetahui akan kelemahan dan kekurangan hambaNya.
    Kepada suami-suami, ingatlah firman Allah:
    ‘Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Ia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih dan sayang dan belas kasihan.
    Kasih sayang dan sifat keperihatinan suami dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh isteri.
    (Ar-Ruum: 21)
    Kepada anak-anak, hargailah ibu-ibu anda. Peluang ini Allah beri sekali sahaja sementara nafas mereka masih ada. Bantulah meringankan tugas-tugas dirumah kerana ini dapat mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Jadikan hari ibu bukan setakat satu hari ini sahaja tetapi setiap hari sepanjang hayat ibu. Cukup kah sekuntum bunga dalam setahun untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu? Bagaimanakah ungkapan ‘syurga itu dibawah tapak kaki ibu’ dapat di kekalkan dalam minda anak anak zaman ini?